Bicara Agama
Martabat wanita - Antara teori dan praktik
Oleh HAMIZAN HUSSIN
ISLAM tidak sekadar membatalkan adat peraturan Jahiliyah yang menanam anak perempuan hidup-hidup, kemudian selepas itu
mengabaikan keperibadian mereka yang masih tinggal di dalam mengharungi liku-liku kehidupannya.
Islam tidak sekadar mengeluarkan undang-undang yang mengakui hak-hak wanita sahaja. Tetapi sebaliknya dasar-dasar keadilan
Islam dijalankan dalam bentuk praktiknya.
Ia tidak sekadar teori yang belum diketahui kemujarabannya. Kita lihat bagaimana Allah s.w.t. memerintahkan baginda
s.a.w. agar melakukan bai`ah (perjanjian taat setia) terhadap kaum wanita sendiri. Sebagai pelaksanaan terhadap wahyu
Rabbani yang tidak mahu mereka hanya menjadi hamba kepada para bapa dan suami.
Di dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: ``Wahai Nabi (Muhammad), apabila datang kepadamu perempuan-
perempuan beriman hendak berbai`ah (janji taat setia) kepadamu, bahawa mereka tidak akan mempersekutukan Allah dengan
sesuatu pun dan tidak akan mencuri, dan tidak akan berzina dan tidak akan membunuh anaknya dan tidak akan mengadakan
pendustaan yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka (iaitu mengatakan anak yang didapati di tengah jalan
sebagai anak suaminya) dan tidak pula menderhakaimu di dalam perkara kebaikan, maka hendaklah engkau terima bai`ah
mereka dan mintalah ampun untuk mereka daripada Allah.
``Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.'' (Al-Mumtahinah:12)
Seterusnya Nabi s.a.w. mengangkat martabat kaum wanita secara praktiknya dengan meminta pandangan di dalam perbincangan
menyentuh berbagai-bagai perkara, sama ada pada waktu aman atau semasa peperangan.
Tercatat di dalam kitab Sahih Imam Muslim bagaimana Nabi s.a.w. meminta pandangan daripada isterinya, Ummu Salmah pada
waktu para sahabat tidak menurut perintahnya agar bercukur sebagai satu tahallul daripada ihram selepas perjanjian
Hudaibiyah.
Ini adalah kerana perjanjian tersebut menyebabkan baginda tidak dibenarkan memasuki kota Mekah pada tahun tersebut.
Maka Nabi s.a.w. bersabda: ``Binasa umat Islam! Aku perintahkan mereka agar menyembelih korban dan bercukur tetapi
mereka tidak melakukannya, sedangkan mereka mendengar ucapanku dan melihat wajahku.''
Pada ketika itu Ummu Salmah berkata: ``Wahai Rasulullah, janganlah dipersalahkan mereka itu. Sesungguhnya mereka sedang
ditimpa oleh satu perkara yang besar dengan kesempitan yang menimpa dirimu di dalam perjanjian itu dan mereka kembali
tanpa dapat menawan kota Mekah.''
Selepas itu Ummu Salmah mencadangkan agar baginda s.a.w. keluar menyembelih korban, bercukur dan tidak bercakap dengan
sesiapa. Maka baginda keluar dan melakukan seperti mana dicadangkan oleh isterinya itu, lalu perbuatan baginda itu
diikuti oleh para sahabat.
Di sini baginda bersabda: ``Syabas kepadamu wahai Ummu Salmah! Sesungguhnya Allah telah menyelamatkan umat Islam dengan
keranamu daripada azab yang pedih.''
Begitu juga secara praktiknya baginda s.a.w. telah meninggikan martabat wanita sehingga mereka mampu menjamin orang
lelaki dan malahan dapat memberikan keamanan kepadanya.
Kita lihat bagaimana peristiwa Abu Al-As bin Ar-Rabi', suami kepada Zainab binti Rasulullah s.a.w. telah menjadi tawanan
bersama harta pemuka-pemuka Quraisy.
Maka para sahabat telah membahagi-bahagikan harta ini. Abu Al-As telah meminta pertolongan daripada Zainab agar
melepaskannya (Sebelum itu Zainab telah berpisah daripada suaminya ini disebabkan suaminya masih memilih syirik daripada
iman ).
Maka Zainab telah berusaha menebusnya. Perkara ini sampai kepada pengetahuan baginda s.a.w., lalu baginda mengarahkan
agar diterima tebusan daripada umat Islam dengan harga yang paling rendah.
Mendengar kata-kata Nabi s.a.w. ini maka para sahabat telah membebaskan Abu Al-As dan mereka memulangkan kembali hartanya
yang telah dirampas itu.
Setelah dibebaskan beliau terus kembali ke Mekah dan mengembalikan harta yang dibawanya itu kepada para pemiliknya.
Kemudian beliau mengiklankan keislamannya di hadapan orang-orang Musyrikin Mekah dan seterusnya kembali ke Madinah sebagai
seorang yang telah Islam.
Di sana Zainab telah kembali semula ke pangkuannya sebagai isteri.
Begitu juga dapat disaksikan bagaimana Aisyah, Ummul-Mukminin dapat mencapai martabat yang tinggi di dalam
keilmuan dan sastera yang tidak dapat dirasai oleh kebanyakan para sahabat yang lain. Sehinggakan kita dapat
lihat bagaimana para Khulafa Ar-Rasyidin telah menjadikan beliau tempat rujukan di dalam berbagai masalah.
Beliau seringkali menegur dan memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh para sahabat yang agung di sudut ilmiahnya.
Az-Zarkasyi telah menghimpunkan banyak daripada perkara-perkara kesilapan para sahabat yang ditegur oleh Aisyah r.a.
Di antaranya ialah seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Abdullah bin Amru bin Al-As telah
mengeluarkan fatwa kepada kaum wanita agar menghuraikan ikatan rambut sewaktu mandi wajib.
Perkara ini kemudiannya diketahui oleh Aisyah, lalu beliau berkata: ``Sungguh pelik Amru ini, memerintahkan agar
kaum wanita menghuraikan rambutnya sewaktu mandi. Mengapa tidak disuruhnya mencukur rambut sahaja?
``Sesungguhnya aku telah mandi bersama Rasulullah s.a.w. dari bekas yang satu. Aku tidak menuang di atas kepalaku
lebih daripada tiga kali tuangan air.''
Contoh yang lain ialah bagaimana Abu Hurairah telah mendapat teguran daripada Aisyah di atas kesilapannya meriwayatkan
hadis daripada Rasulullah s.a.w. Abu Hurairah telah meriwayatkan hadis: ``Sembahyang terputus dengan orang perempuan,
keldai dan anjing.''
Aisyah yang mendengar riwayat tersebut daripada Abu Hurairah telah membuat teguran: ``Kamu telah menyamakan kami dengan
keldai dan anjing! Demi Allah, sesungguhnya aku melihat Rasulullah s.a.w. bersembahyang, sedangkan aku berada di atas
katil di antaranya dan di antara kiblat dalam keadaan berbaring.''
0 comments:
Post a Comment