Subhanallah.. Mampukah aku jadi begini??
petikan dari utusan online:
Nuramirah hanya perlu dua tahun menjadi hafizah
KEMAMPUANNYA menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia tujuh tahun amat membanggakan dan kejayaannya muncul naib johan pertandingan tahfiz peringkat negeri Perak pada sambutan Maulidur Rasul 11 April lalu memberi kepuasan kepada kedua-dua ibu bapanya yang berjaya mengasah bakat luar biasanya.
Nuramirah Azhari, 10, yang mula mengenal al-Quran pada usia lima tahun berjaya menamatkan hafalannya dua tahun kemudian selepas dilatih sehelai muka surat setiap hari oleh ibunya, Nurzahidah Hashim, 37. Dia belajar antara tujuh hingga lapan jam sehari.
Tanpa menunjukkan sebarang rasa jemu, Nuramirah empat beradik bersama abangnya Muhammad Adam, 12, Nurnabilah, 8, dan Muhammad Amin, 5, berlatih menghafaz al-Quran empat kali sehari iaitu waktu pagi, tengah hari, petang dan malam untuk mengasah daya ingatan mereka.
Lebih membanggakan Nuramirah sudah mempunyai 10 anak murid berusia antara enam hingga 12 tahun sejak setahun lalu dan dia berazam memastikan anak-anak muridnya itu berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun dengan berlatih sehelai muka surat setiap hari.
Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengku Husin, Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak, Nuramira menyatakan rasa gembira kerana tarikh lahirnya mengikut kalendar Islam adalah sama dengan tarikh lahir Rasulullah s.a.w..
“Mungkin ini kelebihannya (sama tarikh lahir dengan Rasulullah), tetapi yang penting kalau hendak jadi seorang huffaz atau hafizah yang baik kita mesti berlatih bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor atau pensyarah universiti. Ibunya, Nurzahidah dan bapanya, Azhari Abu Hassan, 39, seorang pelukis pelan mengajar Nuramirah dan anak-anaknya menghafaz al-Quran setiap hari sebaik sahaja mereka berusia lima tahun sementara anak bongsunya, Muhammad Aslam, yang baru berusia dua tahun diberi pendedahan awal melihat abang dan kakaknya mengaji.
Jadual
Menurut Nurzahidah, beliau dan suami menyediakan jadual waktu khas untuk dipraktikkan oleh anak-anaknya. Bermula pukul 5 pagi mereka disuruh bangun membersihkan diri untuk bersolat tahajud, subuh dan membaca al-Quran sebelum berehat selama sejam setengah bermula pukul 7 pagi.
Selepas dikejutkan semula pada pukul 8.30 pagi untuk membersihkan diri dan bersarapan mereka akan berlatih semula menghafaz al-Quran pada pukul 9.45 hingga 1 tengah hari sebelum berhenti rehat untuk bersembahyang zuhur dan makan tengah hari.
Pada pukul 2 petang hingga 2.30 petang anak-anak diajar ilmu dakwah, akhlak, matematik, sains dan bahasa Inggeris. Mereka akan direhatkan selama sejam untuk tidur pada pukul 3 hingga 4 petang sebelum dikejutkan untuk sembahyang asar dan kembali menghafaz al-Quran sehingga pukul 6.15 petang.
Nurzahidah memberitahu, anak-anaknya akan berehat semula selama 45 minit untuk bermain dan pada sebelah malam seawal pukul 7 mereka sudah dihidangkan makan malam sebelum kembali menghafaz sehingga pukul 9.45 malam bersama anak-anak muridnya seramai lebih 30 orang.
“Pada pukul 10.30 malam hingga 11.30 malam mereka akan disuruh berlatih sekali lagi menghafaz dan pada waktu malam juga saya akan turut mengumpulkan anak-anak untuk bermuzakarah bagi memberi ruang kepada mereka meluahkan masalah masing-masing kerana pendekatan kami berdamping sambil mendidik.
“Inilah amalan harian kami dan pada hari-hari tertentu saya akan pastikan anak-anak dibawa menziarahi sanak-saudara atau sahabat handai serta membawa mereka beriadah seperti pergi ke taman permainan atau berenang. Kami tidak mahu mengongkong kehidupan zaman kanak-kanak mereka,” jelasnya.
Walaupun memilih untuk tidak menghantar anak-anaknya mengikuti pendidikan formal, Nurzahidah dan Azhari mengajar mereka membaca, menulis dan mengira di rumah dan tetap bertegas untuk mengekalkan cara didikan sedemikian dengan mendaftarkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Menengah Agama kelak.
Ilmu akhirat
Dengan alasan tersendiri mereka mahu kesemua anaknya dibekalkan dengan ilmu akhirat kerana yakin dengan cara tersendiri anak-anak akan menjadi manusia berguna dan kukuh pegangan agama berbanding anak-anak yang dihantar ke sekolah biasa.
“Anak yang dihantar ke sekolah tidak akan berada di rumah untuk tempoh yang panjang, pagi ke sekolah, petang mereka mengikuti aktiviti kokurikulum, pergi mengaji dan malam mengikuti kelas tuisyen, justeru berapa jam yang ada untuk kita bersama-sama mereka,” soalnya.
Mengenai petua yang diamalkan, Nurzahidah memberitahu, semasa mengandung beliau akan membaca surah Yasin, membaca al-Quran dan banyak berdoa ketika bersolat. Beliau juga akan memastikan hanya mendapat pemeriksaan dan rawatan daripada doktor wanita ketika mengandung sehingga melahirkan anak.
Dari segi pemakanan pula, beliau tidak menyediakan masakan tertentu sebaliknya percaya air tangan setiap ibu merupakan pengikat kasih yang paling mustajab untuk melembutkan hati anak-anak kerana bermula daripada menumis sehingga menghidangkan makanan beliau akan berselawat dan membaca doa tertentu.
“Saya dan suami akan duduk bersama anak-anak untuk bersarapan, makan tengah hari, petang dan malam bersama-sama kerana pada kesempatan itu kita boleh bermuzakarah dan menjelaskan kepada mereka tentang sesuatu perkara seperti hubungan erat sesama keluarga, sanak saudara dan sahabat,” katanya.
Sementara itu, Azhari memberitahu, untuk membolehkan anak-anak memberi tumpuan kepada menghafaz al-Quran, rumahnya tidak mempunyai televisyen. Sebaliknya mereka hanya menyediakan sebuah radio untuk membolehkan keluarga mengikuti perkembangan semasa.
“Alhamdulillah anak-anak tidak pernah bersungut kerana sejak kecil lagi mereka sudah diajar supaya menjadi seorang tahfiz, malah saya bimbang dengan adanya televisyen tumpuan mereka pada al-Quran sedikit terganggu.
“Saya juga tidak akan memewahkan anak-anak dengan wang ringgit kerana tidak mahu mereka lalai sebaliknya membelikan barangan yang perlu sahaja,” katanya.
Menurut Azhari, ibu bapa yang berhasrat mendidik anak sebagai tahfiz perlu mengikis tanggapan bahawa mereka juga perlu menjadi tahfiz kerana beliau dan isteri bukannya tahfiz tetapi bersyukur kerana dapat mendidik anak-anak sebagai tahfiz dan mempunyai lebih 30 anak murid.
p/s: Muhasabah balik diri kita, mampukah kita menjadi ibu bapa yang baik. Bercinta mau, mendidik diri sebagai bakal ibu yang melahirkan generasi pembela UMMAH??
0 comments:
Post a Comment