Sunday, April 09, 2006

Kematian Itu Satu Perkara Yang Hak!!

Setelah seminggu lebih saya bercuti, hari ini saya mulakan dengan satu berita yang sangat2 menyedihkan saya sekeluarga. Nenek saya yang dikasihi, nenda Hajjah Fatimah bt Hj. Mohd. Nor pulang ke rahmatullah pada tanggal 29 Mac yang lepas pukul 1 petang. (alFatihah)

Setelah disahkan mengalami ketumbuhan dalam otak sejak Ogos 2005, nenda telah dimasukkan beberapa kali ke hospital Jitra. Kali terakhir ialah pada pagi hari pemergian beliau kerana menghidapi "severe pneumonia". Saya menerima khabar duka ini melalui panggilan telefon kak cik pada saat saya bergembira bersama sahabat2 dalam jamuan perpisahan pelajar Latihan Industri. Secara tiba2 wujud satu ruang kosong di dalam hati saya. Sahabat2 saya yang sangat memahami, Roslan, kak su, mirul, kak niza, kak g-ra, kak dang, en. nordin, cik noor, prof yazid, dan ramai lagi yang tak mampu saya tuliskan nama, terima kasih atas sokongan kalian dan bantuan yang kalian hulurkan.. Jazakallah khairan kathira..

Saya ditemani kak su, cuba cari tiket di depan hostel tok jembal, tapi dimaklumkan tiket habis. saya bergegas pulang ke rumah dan mintak tolong kak niza temankan saya ke bandar beli tiket. di pertengahan jalan, kak cik telefon dan maklumkan nenda akan dikebumikan pada petang itu juga, memandangkan keadaan nenda yang uzur di akhir hayatnya. saya pasrah kerana tak mampu menatap wajah nenda buat kali terakhir dalam perjalanannya menemui KEKASIHNYA. saya sedar, siapalah saya untuk menahan nenda, kerana 3 minggu sebelum itu, semasa saya pulang ke jitra, saya melihat tanda2 tidak sabar nenda mahu berjumpa KEKASIHNYA yang abadi itu.. saya sedar, siapalah saya.. =(

Kuasa ALLAH, tiket yang saya perolehi ialah tiket yang terakhir untuk malam itu. saya terus balik ke rumah sewa dan mengemas pakaian, solat Asar dan membaca Yasin sebagai hadiah terakhir buat nenda. Semakin menghampiri petang semakin saya rasakan saat perpisahan kerana nenda akan disemadikan selepas solat Asar. Saya tertidur selepas baca Yasin dan mimpikan senyuman nenda yang selama ini menemani saya. Hari yang paling lambat berlalu saya rasakan.

Selepas makan malam dan solat maghrib, saya dihantar oleh kak niza ke stesen bas tanjung. saya solat Isya di sana dan selepas itu dikejutkan dengan kehadiran dia untuk menemani saya. Dia ingatkan saya walaupun betapa saya mencintai nenda, cinta saya tak mungkin mengatasi cintaNYA kepada nenda, itu adalah suatu perkara HAK - kebenaran; yang pasti setiap insan akan laluinya. terima kasih, kalau awak tak temankan saya, kalau awak tak ingatkan saya, mungkin saya hanyut terus tak ingatkan qada' dan qadar yang pasti kita semua akan tempuhi.

saya sampai di jitra dijemput oleh kak cik dan kak teh. suasana di rumah walaupun cuba di ceriakan oleh semua orang, namun saya dapat kesan carik2 luka itu. manakan tidak, nenda (tok) lah yang selama ini membuatkan kami pulang, bersatu dan gembira. tok jugak yang menjaga saya selama saya di dalam wad akibat jaundice (demam kuning) masa baru dilahirkan. tok mengalirkan air mata, solat hajat agar darah saya tak ditukar dengan darah orang lain. tok yang mengajar saya buat kuih cara yang sedap tu. tok suka makan puding trifle dan kek choclate moist yang saya buat setiap kali hari raya. tok pernah menangis masa ajar saya mengaji Quran kerana saya nafas tak cukup nak baca panjang mad lazim. tok yang suka bila saya sapu losyen di tangan dan kakinya yang kering. tok saya.. tok saya yang suka pakai bedak wangi warna merah jambu, kemudian bila saya selalu mintak nak pakai, dia hadiahkan satu botol pulak untuk saya. tok yang masih ada gambarnya masa saya darjah empat panjat naik belakangnya untuk bermanja. tok yang mendengar sambil menitiskan air mata waktu saya menceritakan layanan buruk kak long dan mak teh terhadap saya masa saya di matrikulasi. tok yang buat kuah kacang yang sedap tiap kali raya, sampai george hirup macam sirap. tok yang pandai buat kuih-muih tradisional, tapi cucunya semua cuma pandai makan saja.

tok saya.. saya tak sempat berada di sisi tok sewaktu dia diambil pulang. saya tak mampu nak gembirakan tok. saya tak sempat pulang. saya tak mampu buat apa2 untuk tok. saya cuma ada upaya dengan izinNYA untuk hadiahkan tok, tok yah dan tok wan mad bacaan Yasin setiap malam. dan saya berharap, sesiapa yang membaca entri saya kali ini, sudi2 kan lah hadiahkan buat tok saya surah Fatihah dan Al-Ikhlas. itu saja yang mampu saya buat untuk tok. Moga tok, tok yah dan tok wan mad berada dekat denganNYA. Adik sayang tok!!

4 comments:

Anonymous 12:34 PM

adik ceritakan beberapa perkara yg bgdin tak pernah tahu pasal ur rship with tok. selepas tok takdak baru bg din tau.

tetapi yg pergi tetap pergi. wajah tok semasa dikafankan putih bersih, memang tok rindu untuk berjumpaNya.

Bersabarlah. hidup mesti diteruskan. bgdin mungkin takdak banyak masa bersama tok, tapi kesan kehilangan tok amat jelas di mata bgdin. Bgdin nampak bagaimana kcik, abah, mak, kak huri, dll berhadapan dengan saat itu.

Al-fatihah untuk tok, moga rohnya digolongkan bersama orang2 soleh.

Anonymous 2:57 PM

Adik, Tok sedang bergembira. Semua tanda Husnul Khatimah ada padanya. Tok sedang gembira bersama kekasihnya. Tok bahagia bersama orang2 yang dia kasihi yang pergi mendahuluinya.

Adik, Tok hidupnya penuh bakti. Tidak pernah menyakiti. Kesabaran, kecekalan dan keikhlasannya sering teruji. Dan... tok sentiasa berjaya menghadapinya. Lidah yang sentiasa basah dengan zikrullah. Tilawah al-Quran yang sebati dengan hari2nya. Malam yang ceria dengan tahajjudnya. Itulah Tok kita.

Adik, saat rohnya diangkat ke langit, seluruh penghuni langit berpesta gembira menyambut kehadiran roh yang wangi ini, roh yang tidak pernah menyakiti sesama makhluk. Walau pun seluruh penduduk bumi menangisi pemergiannya. Tapi sudah puas dan sudah cukup baktinya sebagai hamba dan khalifah.

Adik, bukankah saat pengkebumiannya, langit menangis lembut mengiringi keberangkatan manusia mulia ini. Tok kita, yang kak teh yakin bukan setakat manusia sahaja cinta padanya, malah haiwan dan tumbuhan juga. Kak teh dapat rasakan, kebun tok di belakang rumah menangisi pemergian Tok yang baik terhadap mereka. Kucing di belakang juga...

Cuma kita... belum tahu. Adakah kita akan sebahagia Tok? Adakah kita akan bersama Tok lagi di sana? Insya Allah, kita akan bersama lagi. Di hari yang paling kekal tiada perpisahan. Kerana cinta kita pada Tok adalah lahir dari hati yang ikhlas, cinta cucu pada nenda.

Adik, doakan kita semua akan berkumpul lagi bersama-sama. Doakan dan hadiahkan segala yang kita mampu, supaya kuburnya bercahaya ceria dilimpahi rahmat dan nikmat yang paling sempurna. Doakan Tok didakapi oleh cinta dan belas ihsanNYA.

Ameen...

Kak teh UIA

amni 5:22 PM

betoi macam kakteh n bang din kata, bukan manusia ja tangisi pemergian tok, tumbuhan dan haiwan jugak.

moral of the story, apa kata bg din balik jitra rajin2 siram pokok tok kat belakang rumah?? heheheheh!!!!!

Anonymous 12:22 AM

speechless, that is the best word to write down here. i have nothing to jot down as it is no other words to replace my feeling of losing our 'tok' in front of my eyes. but what i know is i miss her so much, really. semoga rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama org2 yang beriman. amin...

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP