Wednesday, March 14, 2007

Wahai Adik-Adikku

Assalamualaikum adik-adik kakak,

Apa khabar adik-adik tersayang? Kakak doakan agar adik-adik sihat dan ceria selalu disamping terus-terusan di dalam rahmatNYA.
Adikku, kakak menulis surat ini terus dari hati kakak setelah beberapa peristiwa berlaku di hadapan mata kakak. Peristiwa yang mana berlaku pada insan yang sebaya dengan adik- adik, yang membuatkan kakak beristighfar dan mengucap panjang dan hati kakak berdoa agar peristiwa itu tidak berlaku kepada adik-adik yang kakak sayangi.
Adik, kakak masih lagi belajar dan bekerja pada waktu yang sama, seperti yang adik ketahui. Jadi kakak tiada banyak masa untuk mendampingi, menasihati dan memerhatikan adik-adik. Tapi jauh di sudut hati kakak, amat kakak kesali ketidakmampuan kakak mendampingimu kerana kakak takut kesan dari renggangnya kita memberi impak negatif buat adik.
Kakak ingin bercerita pada adik tentang 3 perkara utama yang belum kakak sentuhi pada surat-surat kita sebelum ini.

1. Adikku sayang, pagi ini kakak buka berita dunia berkaitan penggalian Al-Quds oleh puak2 Zionis yang kononnya mencari Haiqal Nabi Sulaiman. Adikku, tahukah kenapa kini begitu mudah umat ISLAM ditindas dan di cabul hak dan kehormatan mereka? Adik perhatikan bagaimana tidak kita dicabul, kita tidak bersatu adikku. Kita Ummat ISLAM hanya menyeru perpaduan berlaku sedangkan kita tidak bergerak ke arah itu. Satu kata-kata yang pernah kakak baca sebelum ini, "Manusia yang hanya pandai bersuara tidak pandai membuat kerja." Harapan kakak, agar kita selepas ini lebih banyak bergerak dan melakukan kerja berbanding bersuara. Bukankah semakin banyak kita bercakap, semakin banyak dosa kita? Adik, kakak rindu ramainya jemaah di surau seperti masa kakak belajar di KISAS dahulu. Kakak pernah mengajak rakan serumah solat terawih di masjid pada Ramadhan lalu, namun kakak dicemuh dengan jawapan, "Saya tak solat terawih, nak pergi, pergilah. Tak payah nak ajak-ajak pulak!" Kakak sedih adik, sehari demi sehari kesabaran kakak semakin tipis. Nampak tak adik? Sedangkan dalam komuniti kecil kita pun, tidak kita mampu untuk satukan, bagaimana mungkin kita satukan seluruh umat? Jawapannya ada satu sahaja: ALLAH. Apabila setiap insan yang MUSLIM ini mula menyembah DIA dengan satu matlamat (mendapat ridha), satu qiblat, tika itu baru dapat kita lihat kesepaduan umat kita wahai adik. Dan bagaimana mungkin itu berlaku? Kitalah adik, kita yang mempunyai kesedaran ini perlu mulakannya di dalam hati kita. Kemudian rakan sahabat terdekat, keluarga dan komuniti rapat kita.
Janganlah akibat lalainya kita pada ibadah pdNYA, membuat tergadai maruah dan negara. Jika ingin kita selesaikan isu besar, pasti perlu kita betulkan isu yang kecil dahulu.

2. Adik, cerita kedua ialah pengalaman kakak semalam di hadapan asrama. Kakak menunggu kawan kakak di hadapan pondok jaga depan asrama. Di tepi kakak ada sebuah skuter dan di sebelahnya ada sebuah kereta kancil. Sepanjang setengah jam kakak menanti kawan kakak itu, tidak kakak nampak sebarang kelibat manusia di kiri kanan kakak. Hanya di jalanraya dan di pintu masuk asrama sahaja. Namun, sebaik sahaja pakcik jaga mula menarik pagar untuk ditutup tepat pukul 12 malam, kakak sangat terkejut melihat seorang gadis sebayamu muncul dari sebalik skuter itu, dan kemudian muncul pula seorang lelaki dari tempat yang sama. Gadis itu bersalaman dan mencium tangan pemuda itu. Namun adikku, kakak pasti tiada sebarang hubungan yang sah antara mereka kerana mereka ialah pelajar yang kakak ajar semester lepas. Adik, hampir kakak menjerit terkejut, kerana dari sebalik tong sampah besar depan asrama juga muncul 2-3 pasang kekasih saling berdakapan, meraba-raba dan asyik dalam dunia mereka. Paling menyedihkan kakak, mereka adalah remaja seagama dengan kita wahai adik. Hancur hati kakak melihatnya. Hati kakak berseru, "Amni, sekarang masa bagimu bertindak. Mungkin selepas ini tiada lagi kesempatan bagimu." Kakak menghampiri sepasang dari mereka yang wajah mereka hampir berciuman, lalu kakak menyapa. " Adik, tolonglah jangan menyusahkan kami!" Mereka terkejut lalu bertanya pada kakak kenapa kakak berkata begitu. "Adik, tahukah kamu, perbuatan kamu mengundang murka ALLAH? Dan jika DIA sudah marah, kami yang tidak terlibat akan turut dilanda murka dariNYA?" Terkedu pasangan itu, lalu mereka mula menjarakkan diri lalu berpisah. Walau tidak kakak ketahui apa tindakan mereka, sekurang-kurangnya kakak berasa sudah melakukan sedikit dari suruhan nahi mungkar.Kakak menegur mereka dengan membayangkan mereka sebagai kamu adik-adikku. Jangan biarkan hati kakak resah lagi adik, pelihara lah maruahmu.

3. Cerita kakak yang terakhir ialah tentang masa. Kakak menerima sms dari seorang sahabat kakak berbunyi, "Anything the mind can conceive and believe, it can achieve! ALLAH gave you 24 hours a day, if you don't utilize them to the best of your ability, you deceive ALLAH, your family and yourself." Kakak tahu adik-adik semua bijak, jadi kakak biarkan adik mentafsir sendiri maknanya. Kadang-kadang kebenaran itu lebih manis jika kita hayati sendiri.

Sekian adik-adikku. Semoga sejuk perut bonda yang melahirkan kamu semua dengan pekerti kamu yang menjadi pewaris para anbiya' dan solehin. Ameen.. Sudi-sudikanlah membalas surat kakak dengan perkhabaran kamu sekalian. Kakak hanya mampu berdoa dan berdoa, serta menegur sekadarnya. Bersamalah kita berusaha meningkatkan iman kita dan tidak terhanyut oleh tusukan jarum iblis laknatullah.

Wallahu a'alam dan wassalam...

Kakakmu seISLAM,
Noor Amni binti Mohamad Khassim.
14 Mac 2007
Bilik Siswazah B,
Universiti Malaysia Terengganu.

2 comments:

Anonymous 9:22 PM

Alhamdulillah, Adik telah meyampaikan yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar... Semoga Allah membantu utk adik Istiqamah.

Cantik blog baru...baju baru

ADam Dryx 7:46 PM

Saya terpana seketika... kelu lidah berkata-kata...

Segala yang tersurat amat dalam makna yang tersirat disebaliknya.

Itulah ketentuan Yang Maha Esa...

*Saya akan terus membaca...

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP