sudah presentation
saya dah abih present, ni terus login nak tulis dalam blog. lega rasanya, pas ni just tulis tesis saja...
saya surf ke web www.mahasiswanegara.net dan jumpa artikel ni, saya rasa boleh berkongsi dengan semua.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
ISLAM DAN DEMOKRASI - ANWAR IBRAHIM
Sejarah Melayu, Babad Tanah Jawa dan lain-lain bahan histografi rantau ini mengandungi fakta sejarah yang di saluti dengan metos dan lagenda yang mencerminkan peninggalan pandangan hidup, weltanschauung, zaman pra-Islam.
Justeru itu setengah sarjana Barat seperti Van Leur dan Schrieke cuba memperkecilkan peranan Islam dengan mengatakan bahawa Islam hanyalah sekadar lapisan kulit tipis, thin veneer, yang menutupi kenyataan Hindu dalam kepercayaan dan kehidupan masyarakat rantau ini. Tetapi kajian yang lebih ilmiah terhadap sejarah intelektual rantau ini akan menampilkan kenyataan bahawa Islam bukan sekadar membawa perubahan dalam rupa tetapi ada juga pada jiwa umat rantau ini.
Apabila kita meneliti tulisan-tulisan Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri, jelaslah bahawa Islam membawa revolusi rohaniah dan akliah. Revolusi rohaniah dan akliah membebaskan umat rantau ini dari belenggu tahayul dan khurafat kepada pemikiran rasional. Islam menggilap akal umat rantau ini untuk meneroka alam pemikiran sejagat, dunia falsafah dan pemikiran murni. Dengan penulisan Bustanul Salatin Nuruddin al-Raniri me mulakan kesedaran sejarah dalam bentuk baru, iaitu sejarah yang dibina dari fakta sebagaimana yang kita fahami hari ini dan bukannya sejarah yang dipenuhi dengan metos dan lagenda.
Tetapi kedatangan Islam bukan sekadar membentuk pandangan hidup baru yang mengutamakan peranan akal dan pemikiran rasional. Revolusi rohaniah dan akliah ini juga kemudiannya menggerakkan transformasi sosial, iaitu secara beransur-ansur meletakkan asas susunan baru kemasyarakatan dan urusan kenegaraan yang mementingkan kemuliaan darjat insan. Justeru itu pada kita Islamlah yang pertama kali memperkenalkan kepada kita di rantau ini kepada cita-cita keadilan sosial dan pembentukan masyarakat madani, civil society yang bersifat demokratis.
Bukan itu sahaja, Islam membentuk satu susunan politik dan kebudayaan serantau, a regional geo-political and cultural order. Selama 400 tahun sebelum imperialisme Barat menguasai rantau ini, alam Melayu-Indonesia membentuk satu rangkaian sistem geo-politik maritim yang ber-asaskan gabungan nilai-nilai Islam dan kebudayaan tempatan. Islam tidak berakhir dengan jatuhnya Melaka ke tangan Portugis. Islam membina empayar Johor-Riau, Kesultanan Sulu, Acheh, Sulawesi dan sebagainya. Setiap entiti politik ini berhubung antara satu dengan lain dalam satu perdagangan maritim yang berkisar antara selat-selat Melaka, Sunda, Sulawesi dan Laut Sulu. Kota-kota seperti Acheh, Ampel, Jambi, Patani tumbuh menjadi pusat politik, ilmu dan kebudayaan. Islam menyempurnakan sifat-sifat persendirian, keperibadian sendiri dan faham kebangsaan masyarakat Melayu-Indonesia.
Sementara kita mengakui sumbangan besar Islam di rantau ini ia tidak bermakna bahawa tugas Islam di rantau ini sudah selesai. Bahkan kita masih menyaksikan bagaimana masih tampak dengan nyata pertentang-an antara realiti masyarakat deng-an cita-cita Islam. Meskipun Islam telah membawa revolusi rohaniah dan pemikiran, di kalangan masyarakat awam tahyul dan pemikiran tidak rasional masih berleluasa. Sepanjang zaman kesultanan di alam Melayu-Indone-sia feodalisme begitu mengong-kong. Sebahagian besar cita-cita sosial Islam seperti kekudusan diri manusia dan harta belum dapat dihayati sepenuhnya. Baik dalam Sejarah Melayu mahupun dalam tulisan-tulisan Abdullah Munshi kita dapat mengesan bagaimana hak individu sering dicabul dan harta rakyat dirompak oleh pemerintah. Meskipun syariah Islam meletakkan asas-asas pemerintahan undang-undang, rule of law dan prinsip keperlembagaan constitutionalism untuk mengikat penggunaan kuasa kepada prinsip moral dan undang-undang, ajaran ini hampir tidak hidup dalam masyarakat Melayu-Indonesia di zaman kesultanan. Unsur-unsur pendewaan dan ketaatan membuta tuli diberikan penilaian yang tinggi mengatasi nilai-nilai kebenaran dan keadilan. Bahkan ini berlaku di hampir keseluruhan dunia Islam.
Di sinilah kita merasakan bahawa umat Islam di Asia Tenggara mempunyai kemungkinan besar untuk memberikan peng-arahan baru kepada umat Islam sedunia. Islam sampai dan berkembang sebagai satu sistem politik dan kebudayaan di zaman kuasa Islam berada di puncaknya dan sedang menuju zaman surutnya. Ketika Kesultanan Melayu di zaman kegemilangannya, umat Islam diusir dari Sepanyol oleh Reconquista Ferdinand dan Isabella. Kecuali Mulla Sadra, itupun kesan pemikirannya terbatas di dunia Parsi, tiada aliran pemikiran baru yang muncul. Sains dan teknologi mundur. Justeru itu Islam di Asia Tenggara belum pernah mencipta sesuatu yang gemilang untuk umat.
Sekarang adalah masanya kita memberikan sumbangan tersebut.
Saya melihat persoalan besar umat Islam dewasa ini sebagai cabaran membentuk masyarakat madani. Yang kita maksudkan dengan masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat. Masyarakat mendorong daya usaha serta inisiatif individu baik dari segi pemikiran, seni, ekonomi dan teknologi. Sistem sosial yang cekap dan saksama serta perlaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang dan bukan nafsu atau keinginan individu menjadi keterdugaan atau predictability serta ketelusan atau transparency system. Sifat-sifat begitu penting sekali kerana tiada siapa yang terdorong melakukan pelaburan atau investasi sekiranya tidak terjamin pelaburannya. Sistem sosial dan ekonomi yang tidak telus serta diserang budaya rasuah yang berleluasa bukan sahaja menghindar masuknya investasi tetapi juga menindas golongan terbanyak.
Kemelut yang dideritai oleh umat semasa seperti meluasnya keganasan, sikap melampau dan tidak tasamuh; kemiskinan dan kemelaratan; ketidakadilan dan kebejatan sosial, kejahilan, kelesuan intelektual serta kemuflisan budaya adalah manifestasi krisis masyarakat madani. Krisis masyarakat madani ini digambarkan oleh Abdul Rahman al-Jabarti, sejarawan Islam yang menyaksikan penaklukan Mesir oleh Napoleon di abad ke-18. Beliau menggambarkan masyarakat yang telah kehilangan daya. Tiada sepucuk meriam pun yang berfungsi untuk menahan kemaraan tentera laut Perancis dari mendekati pelabuhan Iskandariah. Hanya ketakutan kepada kekuasaan yang menjamin peraturan. Apabila para pasha melarikan diri dari tentera Napoleon, rusuhan, pecah rumah, percurian dan jenayah berlaku serta merta. Tiada lagi prinsip moral dan disiplin untuk meneruskan kestabilan dan peraturan.
Kemelut ini kita saksi di kalangan masyarakat Islam baik di Asia mahupun Afrika, seolah-olah umat terjerumus kepada salah satu kezaliman, kezaliman akibat kediktatoran atau kezaliman yang timbul dari runtuhnya atau ketiadaan order politik serta peminggiran rakyat dari proses politik.
Mengapa gusar dengan demokrasi
Ada kalangan yang mengungkit dengan rasa gusar kononnya kebebasan dan demokrasi yang merupakan inti kepada masyarakat madani tidak serasi dengan masyarakat Asia dan akan menimbulkan ketegangan sosial. Pandangan sedemikian amat meleset, muncul dari mulut penguasa rakus dan zalim yang gentar dengan suara rakyat.
Kita tidak mendukung kebebasan mutlak, seolah-olah vox populi vox dei, suara rakyat adalah suara Tuhan, yang menggadaikan prinsip agama, moral dan undang-undang sebagai sesuatu yang relatif kepada tuntutan rakyat.
Adalah munasabah jika ada yang membangkitkan kebimbangan sedemikian kerana bahaya suara majoriti yang membelakangkan hukum dan diperalatkan untuk bertindak zalim, terutamanya terhadap golongan minoriti; sepertimana yang diungkapkan oleh demokrat Jefferson sebagai "tyranny of the majority".
Maka memadailah kita dengan gagasan demokrasi, vox populi, suara rakyat suara keramat yang tunduk kepada hukum dan pertimbangan moral; berani terhadap kemuliaan insan dan keadilan, serta benci terhadap kezaliman dan rasuah.
Pegangan hidup yang sedemikian akan menjamin negara dari dipimpin oleh segelintir penguasa yang bermaharajalela tanpa diimbangi oleh kekuatan hukum dan teguran rakyat.
Kita rumuskan bahawa kalangan yang melahirkan penentangan terhadap demokrasi dan kebebasan didorong oleh nafsu serakah untuk berkuasa mutlak dan takut akan kezaliman dan rasuah dibongkar.
0 comments:
Post a Comment