Tuesday, February 08, 2005

i'd ask if i care...

22 tahun, bukan... hampir 23 tahun ku kenali dia, sangka ku betul - betul sudah ku kenal dia, rupanya silap fikirku itu. dia yang selama ini aku sangka yang buruk- buruk belaka, tapi kepulangan ku kali ini merubah segala yang terhijab.

biar ku mulakan kalam ini menyatakan apa tujuan dan hadaf ku mencoret,biar pun aku pendebat terbaik dalam pertandingan, namun bila tiba masa untuk meluah kata - kata kadang terkaku jua lidah ku... berkali kali cuba aku berbicara dengan dia, tapi apa yang terjadi cerita lain jua yang terkeluar.

hingga terjadi satu perkara itu, ku rasa biar ku pendam sahaja rasa di hati agar tidak melukakan dia, dan merenggangkan hubungan kami, namun aku catatkan jua sekiranya aku atau dia pergi dahulu masih terdapat kenangan yang tersurat di atas segala yang tersirat.

dia, pernah ku marahi kerana lainnya pemikiran kami. jarak umur yang memisahkan, dan mungkin jua pengalaman yang berlainan, situasi yang semakin memberatkan. pernah ku tengking dia sedangkan niat nya hanya ingin membetuli kesalahanku. ya ALLAH, apa yang telah aku lakukan?

ku memberontak dalam hati atas segala nasihat, muka ku biasa2 saja, tapi dalam hatiku yang busuk ini, penuh cercaan, nista dan kata yang jika terdengar oleh telinga nya bisa membuat luluh hatinya... bagaimana harus ku hadapi murka ALLAH di hadapan kelak... ampunkan aku..

dia pernah memarahi aku dalam telefon, atas beberapa kedegilan yang pernah aku lakukan, dasar anak degil, aku terus sahaja meletakkan telefon tanpa pamit. bukan niat ku berkurang ajar, tapi ringan sahaja tangan ku mematikan panggilan itu..

peristiwa raya yang lepas paling tak dapat aku lupa, hingga ke saat ini aku menyesali keceluparan mulut ku kerana terlalu petah menjawab. nasi sudah menjadi bubur, namun patut nya aku bersyukur kerana dengan peristiwa itu membuatku semakin cuba merapati dia, memerhatikannya, mengenali dan menyelami isi hatinya, mungkin dia tak sedar kerana aku sekadar memerhati. walau tak ku tinggikan lafaz bicara, tapi kata-kata itu menyebabkan dia terdiam dan tidak menegur aku selama 2 hari. ketahuilah kakak, aku tersiksa sebenarnya!!

aku sendiri tidak menyangka ayat itu bisa merenggangkan kami, "sudahlah, malas nak dengar!" tak ku lafaz dengan tinggi nada, biasa sahaja aku rasa, tapi sebenarnya bagi dia umpama gegaran gempita membelah dada dan ikatan ukhuwah kami. esoknya ku gagahkan diri dengan linangan air mata, menghantar pesanan ringkas lewat teknologi yang ada. "sorry for being rude last night." tangan tak ku hulur, senyum tak ku beri, manakan lembut hatinya, hati kakak itu. aku si adik yang tak tahu menyerah kalah, aku tersiksa. siksa sebenarnya, tapi dek kerana kerasnya hati akibat tempekan dosa, tak cuba aku canaikannya dengan iman yang secarik cuma. aku hanya mampu melafaz, "selamat hari raya, adik minta maaf."

lembut hatinya bukan bayangan di bibir, aku yang selalu tersalah tafsir akibat ego, riya, ujub takabbur dan sum'ah. dalam diam aku menyanjunginya kerana dari dulu hingga kini dia banyak mencorakkan aku. dia banyak membantu dari segi psikologi dan kewangan. dia dan suaminya. bukan, ini bukan satu sanjungan atau bodekan yang di salahtafsirkan. bukan tujuan ku mengaut pujian atau apa - apa ganjaran dunia, ini luahan hati aku. hati si adik itu.

walaupun aku tahu banyak kekurangan yang terpamer dalam dirinya, kelebihan yang terdapat dan yang tersembunyi itu masih cuba kuintai dan ku rakamkan dalam gambaran sanubari aku. apa perlu aku menyebut kekurangan sedangkan kelebihan yang ada menutup kekurangan itu, cuma hati-hati yang jelik sahaja cuba menafikan kebaikan yang terpamer.

dia masih bersahaja. seingat aku, tak pernah dia meninggi diri, aku selalu tersalah tafsir perihal ini. dia sayang kan aku, tentunya, aku adiknya. contoh terdekat yang dapat diberi pasti diri sendiri. ah hati, kenapa terhijab sebegini, penangan dosa barangkali? apa yang dapat aku perhati, tuturnya bersama ibu begitu hati-hati sekali. nah, kalau lah dia begitu jelik, masih adakah hormat pada manusia mulia bergelar ibu. hanya manusia yang menyanjungi ibunya juga menjadi manusia yang mulia.

aku tidak menuding jari mempersalah sesiapa, satu jariku tertuding pada lain manusia, empat yang lainnya menunjuk padaku kembali. salahnya dari aku, terlalu pertahankan ego. rasakan pabila kebenaran itu terserlah. biarlah apa kata manusia lainnya, akan aku cuba kenali dia, memahaminya, membantu seadanya, jika aku termampu, jika aku lelah di hujung perjalanan langkahan ini, aku hanya mampu berharap, agar insan yang dahulu ku pandang jelik dengan sebelah mata (walaupun ini tidak dia sedari, tapi aku menyesal amat), masih sudi menerima dan mengakui aku adiknya, adik yang hanya tahu meminta tidak pandai memberi, yang tahu mengungkit, tidak pandai mentafsir, adik yang nampak biasa tapi akulah adiknya yang busuk hati tidak tahu bersyukur atas anugerah yang tidak ternilai, tidak tahu menterjemah kata hati seorang kakak.....

andai dia terbaca atau sesiapa jua, ku mohon agar tersampai di hatinya, maafkan aku, aku hanya insan biasa yang tak pandai menilai insan lain. maafkan aku, "i'd ask if i care", membuatkan aku semakin mengenalinya...


  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP